Kali ini, bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa pecah amanah wang itu dengan memberi pinjaman kepada Armada Holdings Sdn. Bhd., di Affin Bank Bhd., cawangan Jalan Bunus, Masjid India, di sini 8 Disember 2015.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tambahan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda.

Susulan pendakwaan baharu hari ini, Ahmad Zahid menghadapi keseluruhan 46 pertuduhan iaitu 11 pertuduhan pecah amanah, 27 pengubahan wang haram dan lapan pertuduhan rasuah.

Terdahulu, pada prosiding yang ditetapkan untuk sebutan, pihak pendakwaan telah meminda 10 pertuduhan pecah amanah dan pertuduhan itu dibacakan semula.

Ahmad Zahid mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas kesemua pertuduhan pindaan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran sebelum itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa, pindaan pertuduhan-pertuduhan itu membabitkan tarikh-tarikh kejadian.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Oktober lalu, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 45 pertuduhan  pecah amanah, menerima  wang rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan wang puluhan juta ringgit.

Ahmad Zahid didakwa atas 45 pertuduhan dengan 10 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan menerima suapan dan 27 pertuduhan penggubahan wang haram melibat jumlah lebih RM100 juta. - UTUSAN ONLINE