Yee Kok Chew, 57, yang merupakan warga Singapura bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Mohd. Azali Ibrahim.


Ahli perniagaan itu didakwa telah bertindak zalim dengan memukul, menyakiti dan mendera seekor anjing jantan baka Mongrel berwarna coklat putih sehingga mendatangkan kesakitan dan penderitaan tidak wajar terhadap haiwan tersebut.


Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di pondok keselamatan, Jalan BK6 E/4 (1), Taman Melody, Bandar Kinrara, Puchong di sini kira-kira pukul 8.49 malam, 2 April lalu.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Binatang 1953(Semakan 2006) dan dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan) 2013  dan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin warganegara dan menetapkan 4 September ini untuk sebutan semula kes.


Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 2.43 saat yang tersebar di laman sosial memaparkan seorang lelaki memukul dengan ganas anjing itu.