Shamsubahrin selaku pihak pe­mohon turut memohon kebenaran bagi mendapatkan perintah komital terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas; Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); dan Penolong Penguasa, Mohd. Rafizy Abdul Robani atas kegagalan mereka memulangkan aset yang disita dan dibekukan dalam melaksanakan perintah Mahkamah Sesyen bertarikh 5 Julai tahun lalu.

Pihak pemohon antara lain memohon agar SPRM dan Pejabat Peguam Negara memulangkan segala harta benda dan aset yang disita daripada pemohon, isteri­nya dan syarikat-syarikatnya da­lam masa tujuh hari.

Dalam afidavit bagi menyo­kong permohonan itu, Shamsu­bahrin menyatakan, walaupun dia telah dibebaskan daripada lima pertuduhan menipu dan 17 pertuduhan pengubahan wang haram pada 5 Julai 2017 namun SPRM dan Pejabat Peguam Negara masih belum memulangkan segala aset dan harta benda yang disita itu.

Pihak pemohon selain itu me­nuntut supaya kenderaan tiga kenderaan dan sekeping cek Pub­lic Bank Bhd. bernilai RM1 juta daripada National Meat & Livestock Corporation Sdn. Bhd. dikembalikan kepadanya.

Yang turut dimohon, nama­nya dibersihkan sepenuhnya da­ripada sebarang fail jenayah kerana tidak dibenarkan membuka akaun ekoran mempunyai rekod jenayah lampau sehingga menghalang dan menyusahkannya untuk terus berniaga.

Pemohon menyatakan, Tommy yang merupakan pendakwa raya telah gagal memastikan pe­rintah tersebut dipatuhi oleh timbalan pendakwa raya di bawah seliaannya.

Notis permohonan bersama afidavit sokongan itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Muhammad Zahir di Mahkamah Tinggi, di sini semalam.