Datuk Seri Liow Soon Hee, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.

Bagi kesalahan pertama, Soon Hee didakwa menyebabkan cedera parah terhadap Lee Weng Poh, 27, di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, di sini, pukul 6.30 pagi, 27 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Soon Hee turut didakwa menyerang penjawat awam, Melvin Cheong Mun Khai, 19, yang sedang menjalankan tugas sebagai anggota rela, di tempat, masa dan tarikh sama. Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Leong Jun Jie, 21 dan Mun Khai, di tempat, masa dan tarikh sama serta didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan tiga anggota RELA masing bengkak mata kiri, selain sakit beberapa bahagian badan selepas dipukul dan ditendang.

Kejadian berpunca daripada tindakan mangsa meminta kenderaan Toyota Vellfire milik suspek yang diletakkan di tepi jalan besar, dialihkan kerana menghalang lalu lintas. - UTUSAN ONLINE