Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-35, tertuduh, M. Meyyapan, 53, didakwa menerima wang berjumlah RM1,411,363.38 yang merupakan hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram ke dalam akaun RHB Bank Bhd. dan Malayan Banking Bhd. miliknya.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di RHB Bank Bhd. cawangan Damansara Jaya, Jalan SS22/25 dan Malayan Banking Bhd. cawangan Damansara Utama, Jalan SS21/35 di sini antara 22 Mei 2012 dan 1 Ogos 2016.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya.

Baki tiga pertuduhan lagi, Meyyapan didakwa menggunakan akaun miliknya di kedua-dua bank itu untuk menjalankan perniagaan perkhidmatan pengiriman wang tanpa lesen mengikut Seksyen 7 Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 di Malayan Banking Bhd. Jalan SS21/35 Damansara Utama dan RHB Bank Bhd. Jalan SS22/25 Damansara Jaya di sini, antara 10 Jun 2015 dan 1 Ogos 2016.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(4) akta sama yang memperuntukkan denda RM5 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Hakim Norshila Kamaruddin membenarkan Meyyapan diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Mahkamah turut menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan kes dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar dan Pegawai Pendakwa dari Bank Negara Malaysia (BNM), Alvin Ong sementara tertuduh diwakili peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.