Peguam Mat Shuhaimi, N. Surendran memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa permohonan itu akan difailkan di Mahkamah Persekutuan esok, mengikut Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes bagi mendapatkan tarikh daripada Mahkamah Persekutuan berhubung semakan tersebut.

"Saya berpendapat kes ini tidak sesuai untuk diteruskan tanpa mendapat maklum balas daripada Mahkamah Persekutuan," katanya.

Hakim Mohd Sabri Ismail kemudiannya menetapkan 25 Jan ini sebagai tarikh pengurusan kes bagi kedua-dua pihak mendapatkan penghakiman Mahkamah Persekutuan.

Pada 8 Jan lepas, Mahkamah Persekutuan memerintahkan supaya kes Mat Shuhaimi diteruskan di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mendapati terdapat penyalahgunaan proses mahkamah oleh ADUN itu dalam mengemukakan cabaran perlembagaan terhadap Seksyen 3 (3) Akta Hasutan 1948.

Panel lima anggota diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Ma'arop memutuskan perkara itu selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Nov 2016, yang menegaskan bahawa Seksyen 3 (3) Akta Hasutan adalah tidak sah oleh kerana ia melanggari Perkara 10 (hak kepada kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan) Perlembagaan Persekutuan.

Mat Shuhaimi, 49, kini berdepan pertuduhan hasutan kerana didakwa menyiarkan bahan berunsur hasutan dalam blognya di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning di Shah Alam pada 30 Dis 2010.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 3 (3) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Naliatul Huzaimi Ab Rasip memaklumkan kepada mahkamah mengenai status kes tersebut dan hasrat pihak pendakwaan untuk meneruskan perbicaraan.

"Enam saksi pendakwaan telah selesai memberi keterangan dan berbaki empat saksi," katanya. - BERNAMA