Demikian keputusan sebulat suara panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop ketika membenarkan rayuan akhir Kerajaan Malaysia.  Kes itu ditetapkan untuk sebutan lusa.


Kuorum itu mencapai keputusan tersebut ketika menentukan dua persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh pihak kerajaan sewaktu merayu keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 3(3) Akta Hasutan 1948, melanggar Perlembagaan.


Seksyen 3(3) akta tersebut menyatakan, niat tidak relevan untuk dibuktikan oleh pihak pendakwaan bagi mensabitkan kes hasutan asalkan wujud kecenderungan menghasut.


Oleh yang demikian, pertuduhan terhadap Mat Shuhaimi, 49, kerana memuat naik artikel berbaur hasutan dalam blognya, Srimuda.blogspot.com, masih mempunyai kesan dan sah di sisi undang-undang.


Kuorum berkenaan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Februari 2015 yang menolak saman pemula wakil rakyat pembangkang tersebut.


Pada 7 Februari 2011, Mat Shuhaimi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(c) kerana memuat naik artikel berhubung pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu.


Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning di Shah Alam pada 30 Disember 2010. - UTUSAN ONLINE