Majistret Mahyudin Mohamad Som memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap ADUN Teja, Chang Lih Kang, 37; ADUN Semambu, Lee Chean Chung, 36; kedua-duanya daripada PKR dan Rozan Azen Mat Rasip, 40, yang juga Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Ketika membaca keputusan ringkasnya, majistret terbabit menyatakan berdasarkan kete­rangan saksi-saksi pendakwaan, jelas menunjukkan bahawa ketiga-tiga lelaki yang didakwa sebagai orang kena saman (OKS) terlibat dan sengaja menyertai protes jalanan terbabit.

Alasan pembelaan yang menya­takan ketiga-tiga lelaki itu wajar dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela di­ri ekoran pertuduhan terhadap me­reka adalah cacat, tidak boleh diterima oleh mahkamah kerana kes pendakwaan jelas menunjukkan kesalahan yang dilakukan dan tidak menyebabkan prejudis ke atas OKS.

Pada 8 September 2015, ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyertai protes jalanan bermula di hadapan pusat beli-belah Sogo dan berakhir di kawasan air pancut persimpa­ngan Jalan Tun Perak di sini antara pukul 4.30 petang dan 5.05 petang, 21 Mac 2015.

Timbalan Pendakwa Raya, Jaizah Jaafar Sidek mengendalikan pendakwaan terhadap mereka mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000.

Mahkamah menetapkan 7 September ini untuk pengurusan kes bagi membolehkan peguam bela, Eric Paulsen berbincang dan mendapatkan arahan lanjut daripada anak-anak guamnya.