Majistret Mohd. Azhar Hamzah memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ming Kai di akhir kes pendakwaan.

Mohd. Azhar ketika membacakan penghakiman berkata, prima facie gagal dibuktikan kerana pertuduhan bersifat lemah dan video yang dikemukakan tertuduh gagal disangkal oleh saksi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd. Latif manakala Ming Kai tidak diwakili peguam.

Ming Kai daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ditemui selepas keputusan itu mengakui lega sekali gus membuktikan dia tidak bersalah atas pertuduhan tersebut kerana hanya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Ming Kai didapati menghalang tugas Inspektor M. Kaneson dan anggota lain, yang menjaga keselamatan di sebuah tapak projek pembinaan struktur komunikasi di Taman Mutiara, Kangar pada pukul 8.30 pagi, 6 April tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ming Kai didakwa berdiri di tengah jalan dan menghalang kenderaan membawa peralatan pemasangan menara komunikasi yang berada dalam kawalan pihak polis.

Dia dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE