Kedua-dua mereka S. Kirubanantharaj, 25 dan S. Tharmenderan, 22, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Dalam prosiding tersebut tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh memandangkan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bagi mencapai niat bersama telah membunuh T. Theebakaran, 26, di luar restoran Lai Kong, Jalan PJS 8/4, Sungai Way, di sini, pada 5.30 petang, 11 Feb lalu.

Perbuatan tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan tersebut tidak boleh diikat jamin manakala kedua-dua tertuduh itu tidak diwakili peguam.

Nor Ariffin kemudiannya menetapkan 27 Mei depan untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE