Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz yang dahulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid, 62, berkata, rumusan itu dibuat berdasarkan luka sagat di dada kanan, belakang pinggang dan kepatahan tulang pada rusuk Muhammad Adib selain butang baju putus.

Dr. Shahrom turut merumuskan bahawa, berdasarkan luka pada bahagian badan juga, daun pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah diterajang menyebabkan luka sagat dan patah tulang-tulang rusuk di dada kanan pada atas dan lebam paru-paru kanan.

“Daun pintu EMRS juga telah sekali lagi diterajang menyebabkan dua lebam pada bahagian hadapan atas lengan kanan. Bahagian belakang kiri badan mangsa telah ditolak dengan kuat mengenai bahagian sisi menegak daun pintu menyebabkan patah tulang-tulang rusuk kiri posterior dan lebam paru-paru kiri.

“Mangsa mati akibat kecederaan parah paru-paru kiri dan kanan akibat hentakan-hentakan trauma tumpul. Hentakan trauma tumpul ini adalah bukan akibat perbuatan diri sendiri tetapi akibat perbuatan dua atau lebih orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ketika menjawab soalan peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempat (KPKT) Syazlin Mansor dalam prosiding inkues yang memasuki hari ke-23. - UTUSAN ONLINE