Adam Rosly Abdullah
ADAM ROSLY

Hakim Allaudeen Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pembelaannya gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

Bagi setiap pertuduhan itu, Allaudeen memerintahkan supaya Adam Rosly dihukum penjara enam bulan dan denda RM5,000. Kesemua hukuman itu berjalan secara serentak.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam Datuk Sulaiman Ismail supaya pelaksanaan hukuman penjara ke atas anak guamnya ditangguhkan sehingga selesai proses rayuan.

Untuk tujuan tersebut mahkamah memerintahkan Adam membayar jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam Rosly didakwa memberi pernyataan palsu ketika percakapannya dirakam dua pegawai penyiasat SPRM.

Pernyataan itu berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, sumber pendapatan, hasil jualan kenderaan, banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu, Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman wang daripada ah long RM500,000 dan pinjaman RM200,000 daripada ibu mentua dan neneknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat SPRM, Putrajaya, antara pukul 9 pagi dan pukul 12.15 tengah hari pada 10 Februari 2017 dan antara pukul 9 pagi dan 2 petang, pada 22 Februari 2017.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, dia didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu serta dua baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn. Bhd. dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE