Hakim Allaudeen Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Datuk Adam Rosly Abdullah se­lepas mendapati keterangan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Allaudeen menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM5,000 atau setahun penjara bagi setiap pertuduhan terhadap Adam Rosly, 31, dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah mem­­­­benarkan permohonan Adam Rosly yang diwakili peguam Datuk Sulaiman Ismail untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan terhadap keputusan hari ini selesai dengan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin dan pasport di­serahkan kepada mahkamah.

Terdahulu, Sulaiman memohon hukuman denda yang rendah memandangkan anak guamnya berhadapan masalah ke­wangan selepas di­dakwa atas pertuduhan itu kerana semua hartanya telah disita dan buku akaunnya te­lah dibekukan.

“Anak guam saya juga telah sedar dan in­saf dengan perbuatannya dan apa yang berlaku telah memberi pengajaran kepadanya. Apa yang berlaku juga bukan dengan niat anak guam saya sebaliknya ia berlaku kerana tekanan yang dihadapinya ketika menyediakan dokumen yang diperlukan pihak SPRM,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib me­mohon hukuman setimpal serta berbentuk pengajaran memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

“Walaupun ini adalah kesalahan yang pertama dan tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau tetapi berdasarkan hukuman yang diperuntukkan ia menun­jukkan bahawa kesalahan yang dilakukan adalah serius,” katanya.

Seramai 11 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Mengikut pertuduhan perta­ma dan kedua, Adam Rosly di­dak­wa memberi pernyataan pal­su ke­pada dua pegawai penyiasat SPRM ketika percakapannya di­ra­­kam mengikut Sek­syen 32 (8) (c) Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram, Pencegahan Pem­bia­yaan, Keganasan dan Hasil Da­ripada Aktiviti Ha­ram 2001.

Pernyataan palsu itu adalah berhu­bung kerjayanya se­bagai ahli perniagaan, pendapa­tan, ken­deraan me­wah, rumah banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Me­layu Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman wang RM200,000 daripada ibu mentua dan arwah neneknya serta pinjaman wang RM500,000 daripada along.

Bagi pertuduhan ketiga sehingga keenam, lelaki itu dituduh menggunakan suatu dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu dan dua baucer tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn. Bhd. dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM mengikut Seksyen 89 akta yang sama.

Dia didakwa melakukan ke­se­­mua perbuatan itu di Ibu pejabat SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 9 pagi dan 12.15 tengah hari 10 Feb 2017, dan antara 9 pagi dan 2 petang, 22 Feb tahun sama.

Kesemua pertuduhan mempe­runtukkan hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara se­­hing­ga lima tahun atau kedua-dua­nya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA