Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan.

Pada 13 April 2018, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Zainal Abidin Kamarudin yang melepas dan membebaskan Adam Adly, 31; Muhammad Safwan Anang, 30; Ekhsan Bukharee Badarul Hisham, 28; Mohamed Bukhari Mohamed Sufian, 29 dan Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, 39, daripada pertuduhan menyertai perhimpunan haram.

Zainal Abidin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kesemua Orang Kena Saman (OKS) di akhir kes pembelaan. Kesemua OKS yang diwakili peguam Zaid Abd. Malek hadir di mahkamah.

Mereka didakwa menyertai perhimpunan di tempat larangan itu iaitu dalam pekarangan Masjid Ar-Rahman Universiti Malaya antara pukul 12 tengah hari dan 1.15 tengah hari, pada 22 Jun 2013 mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE