Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Zawawi Salleh yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim  memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Mahkamah sebulat suara berpuas hati bahawa hakim bicara melakukan banyak salah arah daripada segi undang-undang ketika mensabitkan Adam Adli terhadap tuduhan tersebut.

Adam Adli, 28, merayu terhadap sabitan dan denda maksimum RM5,000 kerana mengeluarkan kenyataan untuk menggulingkan kerajaan menerusi de­monstrasi jalanan dalam satu ceramah pada Mei 2013.

Pada 18 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 19 September dua tahun lalu tetapi meminda hukuman penjara setahun kepada denda RM5,000 atau penjara enam bulan.

Adam Adli ketika itu didapati bersalah mengeluarkan pernyataan menghasut di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di No. 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi di ibu negara antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara lima tahun. - UTUSAN ONLINE