Menurut pakar perubatan, Dr. R. Kalyani, 34, yang pernah bertugas di Unit Kecemasan Hospital Putrajaya bermula November 2011 sehingga Jun lalu, tanda tersebut dapat dilihat melalui saiz anak mata lelaki itu yang telah mengecil dan disifatkan sebagai berbeza dengan kes-kes yang biasa dikendalikannya.

‘‘Kebiasaannya, apabila seseorang yang dalam perjalanan ke hospital telah mati atau meninggal dunia selepas diberi resusitasi kardio pulmonari (CPR) selama 30 minit, anak mata pesakit akan mengembang tetapi anak mata pesakit ini (Jong-nam) mengecil.

‘‘Kebiasaannya, secara klinikal, keadaan ini hanya berlaku akibat keracunan terutamanya bagi keracunan OP,’’ katanya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Tambah saksi pendakwaan ke-13 itu, seseorang yang mengalami keracunan OP sama ada akibat ditelan atau dengan cara lain akan mengalami beberapa simptom dan antaranya ialah miosis iaitu pengecilan anak mata.

Selain itu, Kalyani yang kini bertugas di unit sama di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memberitahu, pemeriksaan luaran pada tubuh Jong-nam pada 13 Februari lalu tidak menemukan sebarang kesan lebam atau luka.

Saksi itu berkata demikian sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dalam perbicaraan terhadap wanita Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang didakwa membunuh Jong-nam, 45, bersama-sama empat individu yang masih bebas di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-17 hari ini melibatkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Kalyani memberitahu, Jong-nam dibawa masuk ke Zon Kritikal, Unit Kecemasan Hospital Putrajaya dalam keadaan tidak memberikan tindak balas.

dan telah dimasukkan tiub pernafasan serta diiringi oleh seorang paramedik, seorang jururawat Klinik Menara KLIA2 dan pemandu ambulans.

‘‘Ketika dibawa masuk, jururawat klinik memaklumkan pesakit merupakan warga asing yang dalam perjalanan ke suatu destinasi telah dibawa ke klinik oleh seorang anggota polis. Pesakit memberitahu ‘sesuatu’ telah disembur ke mukanya. Tetapi tidak lama selepas itu, pesakit mula berpeluh dan mengalami sawan sebelum rebah di klinik.

‘‘Dalam usaha untuk menyelamatkan pesakit tersebut, mereka (kakitangan di Klinik Menara) telah memasukkan tiub mulut dan diberikan ubat ‘adrenaline’ secara infusi intravena (IV) dan ‘atropine’ bagi meningkatkan kadar degupan jantung pesakit. Jururawat memberitahu pesakit telah beberapa kali mengalami tekanan darah rendah dan degupan nadi gagal dikesan,’’ katanya.

Kalyani memberitahu, rawatan CPR telah diberikan selama 30 minit dan sebanyak 60 miligram (mg) adrenaline sepanjang tempoh tersebut sebelum dihentikan selepas Jong-nam langsung tidak menunjukkan sebarang tindak balas atau tanda pesakit boleh bernafas semula.

Saksi bagaimanapun tidak dapat memberikan waktu kematian secara tepat kerana lelaki terbabit sudah tidak bertindak balas ketika tiba di hospital dan tidak mengetahui punca kematian lelaki Korea Utara itu sehingga kini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok.