Abu Ameenah menyaman Zamihan atas dakwaan memfitnah dalam hantaran (posting) bergambar yang dimuat naik di akaun laman sosial Facebook miliknya, tahun lalu kerana mengaitkannya sebagai penyokong keganasan antarabangsa.

Peguam Meor Amir Meor Omar Baki yang mewakili Abu Ameenah memberitahu pemberita, jumlah jaminan kos itu dipersetujui kedua-dua pihak dalam prosiding pada 19 Januari lalu dan dibayar oleh anak guamnya selaku pihak plaintif pada 29 Januari lalu.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebelum ini menetapkan perbicaraan kes saman itu didengar selama tiga hari bermula 31 Julai ini.

Pada 29 September tahun lalu, pihak plaintif mendakwa, Zamihan yang dinamakan sebagai pihak defendan telah memuat naik gambarnya berserta kapsyen dalam akaun Facebook, Ustaz Zamihan Al Ghari pada 26 November 2016 yang mendakwa beliau seorang penyokong pengganas.

Pihak plaintif mendakwa, hantaran tersebut memaparkan poster hebahan kuliah Maghrib khas yang disampaikan olehnya pada 1 Disember 2016 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalulail, Kangar, Perlis.

Plaintif mendakwa hantaran tersebut merujuk kepada dirinya berdasarkan gambarnya yang dimuat naik selain kenyataan ‘International Terrorism Supporter, dibenarkan berceramah di Perlis’ yang turut merujuk kepada poster kuliah Maghrib khas yang disampaikan olehnya.

Hantaran tersebut dakwa pihak plaintif, menyebabkan beliau mengalami kesusahan, kesedihan yang teruk selain reputasi dan kredibilitinya terjejas.

Abu Ameenah sehubungan itu menuntut supaya defendan membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya melalui akhbar utama pilihan plaintif dan melalui Facebook defendan dan menarik balik hantaran, perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu, ganti rugi am lebih RM1 juta, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

Sementara itu, Zamihan, 42, dalam pernyataan pembelaan bertarikh 19 Oktober tahun lalu berkata, beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai hantaran bergambar itu yang telah tersebar di internet.

Defendan turut menegaskan pernyataan dalam hantaran bergambar itu bukan merupakan fitnah terhadap plaintif kerana apa yang dinyatakan adalah fakta yang benar.

Defendan juga mendakwa terdapat alasan munasabah untuk mengesyaki atau mempercayai bahawa plaintif terlibat dalam menyokong keganasan memandangkan terdapat sumber termasuk akhbar National Post dan maklumat daripada pihak polis yang menyatakan demikian.