Abdul Azeez, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd., Mohammad Redzuan Mohanan  Abdullah sebagai upah kerana telah membantu syarikat tersebut mendapatkan projek-projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah antara 8 Disember 2010 dan 10 April 2018.

Beliau juga didakwa atas sembilan pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada  empat buah syarikat dan perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Lembah Klang di sini antara tahun 2010 dan  2018.

AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Datuk Abdul Latif
AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya Abdul Latif Abdul Rahim didakwa pagi tadi. 

Sementara itu, Datuk Abdul Latif, 61, yang merupakan abang kepada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji itu turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya.

Pendakwaan dikendalikan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik menjadi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, M. Athimulan dan Hisyam Teh Poh Teik.

Mahkamah membenarkan Abdul Azeez diikat jamin RM800,000 manakala Abdul Latif diikat jamin RM500,000 masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa mereka diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan kes ditetapkan 27 Mac ini. - UTUSAN ONLINE.