Latif gagal bayar wang jaminan
Latif gagal membayar wang jaminan sebanyak RM2 juta dan akan dihantar ke Penjara Reman Koreksional Ulu Choh, Pontian. - UTUSAN ONLINE

Seorang lagi tertuduh, Amir Shariffuddin Abd. Raub, 44, yang merupakan perunding hartanah membayar wang jaminan tersebut.

Terdahulu pada sebelah pagi, Abd. Latif dan Amir Shariffuddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membabitkan rasuah bernilai lebih RM30.3 juta.

Abd. Latif dan Amir Shariffuddin, masing-masing yang menghadapi 33 pertuduhan rasuah bagaimanapun tidak mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menerima rasuah daripada beberapa individu bagi mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera kepada pembeli awam, serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi Projek Eco Botanic, Pulai.

Amir Shariffuddin pula didakwa menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd. Latif untuk melakukan apa-apa transaksi yang sebenarnya dengan badan awam iaitu mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera itu, dan pengurangan bayaran wang sumbangan tabung berkenaan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Maybank Islamic Bhd, cawangan Larkin Perdana di sini antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu. - UTUSAN ONLINE