Menurut peguam Abd. Latif, Ibrahim Haikal, anak guamnya yang dihantar ke Penjara Reman Ulu Choh, Pontian semalam setelah gagal membayar wang jaminan tersebut hadir membayar wang berkenaan di kompleks mahkamah di sini pukul 2 petang tadi.

Abd. Latif, 51, dan Amir Shariffuddin Abd. Raub, 44, masing-masing dikenakan jaminan RM2 juta selepas kedua-duanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan terlibat dalam rasuah bernilai lebih RM30.3 juta antara tahun 2013 dan tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau itu mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menerima rasuah tersebut sementara perunding hartanah itu membuat pengakuan sama terhadap 33 pertuduhan menerima rasuah.

Bagaimanapun, sehingga habis waktu pejabat, Abd. Latif gagal membayar wang jaminan itu dan beliau kemudian dihantar ke Penjara Reman Ulu Choh sementara Amir Shariffuddin dibebaskan pada sebelah tengah hari setelah menjelaskan wang jaminannya. - UTUSAN ONLINE