Mohamed Danny Mohamed Jedi, 31, merupakan abang kepada Muhammad Wanndy yang disahkan sebagai rakyat tempatan yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria sejak awal 2015 selain menjadi pelopor utama yang merekrut warga Malaysia sebagai ahli kumpulan militan itu.

Perayu didapati bertindak secara aktif dengan membenarkan kemasukan wang RM12,130 dan pengeluaran sebanyak RM10,000 daripada akaun Maybank miliknya bagi manfaat kumpulan tersebut.

Dia didapati menerima upah di antara RM100 dan RM300 bagi setiap transaksi manakala kesalahan diakui dilakukan di Maybank Ayer Keroh, G-6, Lebuh Ayer Keroh, Hotel King, Ayer Keroh, Melaka antara 28 Januari dan 5 Mac 2016.

Akibat perbuatan itu, Mohamed Danny kekal menjalani hukuman penjara lapan tahun selepas mahkamah tertinggi negara menolak rayuan akhirnya. Hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 18 Mei 2016.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Tan Sri Aziah Ali.

Mohamed Danny tidak diwakili peguam manakala Timbalan Pendakwa Raya, K. Mangai bertindak sebagai pihak pendakwaan. - UTUSAN ONLINE