Perkara itu dimaklumkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan pada prosiding sebutan semula kes hari ini di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Kami telah menyerahkan dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pihak pembelaan,” kata Sri Ram.

Sementara itu peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Rosmah memaklumkan pihaknya telah menerima 600 muka surat dokumen berkaitan kes itu pada 30 Okt lepas.

“Kami cadangkan sebulan untuk sebutan semula kes. Kami belum berkesempatan untuk meneliti dokumen itu,” katanya menambah hanya satu dokumen belum lagi diperolehi iaitu penyata bank.

Pihak pembelaan turut memaklumkan akan membuat permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh terdekat.

Azura kemudian menetapkan 6 Disember untuk sebutan semula kes.

Rosmah, 67, yang memakai baju kurung jingga kekuningan sedondon dengan selendangnya kelihatan tenang di kandang tertuduh dan ketika prosiding berlangsung, seorang pembantu wanitanya dilihat sempat meletakkan bantal kecil sebagai penyandar di belakang Rosmah.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, seorang lagi peguam yang mewakili Rosmah iaitu Datuk Geethan Ram Vincent berkata pihaknya akan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi secepat mungkin sebelum 6 Disember.

Pada 4 Oktober lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, Rosmah didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu dengan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.1 juta dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Berhad milik Rosmah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang di sini antara 4 Dis 2013 dan Jun 8 Jun 2017.

Bagi pertuduhan pertama hingga kelapan, dia dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan sembilan hingga ke-12, Rosmah didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam 227 transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5,997,750 yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Berhad milik rosmah.

Pertuduhan kesembilan hingga ke-12 dibuat mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah juga mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan gagal membuat suatu penyata bagi pendapatan kepada ketua pengarah LHDN.

Mengikut pertuduhan ke-13 hingga ke-17, dia didakwa melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram gagal membuat suatu penyata bagi pendapatan, kesemuanya berjumlah RM7,097,750.00 yang telah dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Berhad miliknya antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017.

Sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan suatu penyata bagi tahun taksiran antara 2013 dan 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah bertentang dengan Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan ke-13, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-14 hingga ke-17, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

-- BERNAMA 
 

Rosmah berbual dengan penyokong
ROSMAH Mansor selepas hadir ke mahkamah bagi sebutan 17 kes pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN ONLINE/ROY AZIS ABD. AZIZ