Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir mereka termasuk anak saudara kepada lelaki yang mendakwa sebagai Sultan Jamalul Kiram III, Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 55.

Kuorum berkenaan yang turut dianggotai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Azahar Mohamed sebulat suara berpuas hati bahawa hukuman gantung merupakan hukuman yang sewajarnya dikenakan terhadap sembilan pengganas terbabit.

Ketua Hakim Negara turut memerintahkan semua eksibit berkaitan kes berkenaan dise­rahkan kepada pihak polis untuk disimpan di Muzium Negara sebagai bahan sejarah.

Hakim Raus ketika me­nyampaikan keputusan tersebut berkata, panel itu menolak rayuan mereka selepas berpuas hati terhadap dapatan fakta yang dicapai oleh hakim bicara dan Mahkamah Rayuan yang mengekalkannya.

“Panel ini berpuas hati sabitan yang diputuskan oleh mahkamah terdahulu adalah selamat untuk dikekalkan dan kami tiada alasan untuk memutuskan sebaliknya atau mengubah keputusan itu,” katanya ketika mengumumkan keputusan ringkas tersebut.

Pada asalnya, sembilan rak­yat Filipina itu dihukum penjara sepanjang hayat oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 26 Julai 2016 namun keputusan itu dike­tepikan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Jun tahun lalu selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Anggota kumpulan pengganas itu disabitkan melakukan kesalahan tersebut di beberapa tempat berbeza di Kampung Bakau dan Kampung Peringi di Semporna, Kampung Madai di Kunat, Ladang Atlas 2 di Jalan Ulu Tungku dan Kampung Tanduo di Lahad Datu di antara 9 Februari 2013 dan 13 Mac 2013.

Keterangan kes menunjukkan, mereka melakukan pencerobohan bersenjata dan mengakibatkan sembilan anggota dan pegawai keselamatan Malaysia terbunuh dan mencederakan hampir 100 pengganas rakyat Filipina, dalam usaha menuntut negeri Sabah yang bukan hak mereka.

Sementara itu, empat daripada sembilan perayu merupakan panglima dalam pasukan Tentera Kesultanan Sulu (RSF) yang diketuai oleh Datu Amir Bahar.

Pada prosiding itu, panel ber­kenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan 14 individu (13 rakyat Filipina, seorang rakyat tempatan) daripada pelbagai tuduhan berkaitan insiden pencerobohan itu selepas menolak rayuan balas pendakwa raya.