Inspektor Nurul Izzah Naziri berkata, lima keping cek daripada akaun pelanggan firma guaman itu yang berjumlah RM108,962 telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Kamal Hisham di Bank Mualamat Malaysia Bhd. manakala baki empat keping cek lagi bernilai RM40,556.33 turut dimasukkan ke dalam akaun peribadi yang sama.

Menurutnya, siasatan terha­dap penyata dua akaun bank firma guaman tersebut di RHB Bank Bhd. menunjukkan terdapat pembayaran melalui cek oleh syarikat Met Mint (M) Sdn. Bhd. dan Point Convenience Shop Sdn. Bhd. bagi sewaan ruang niaga di bangunan JB Sentral.

“Berdasarkan siasatan saya, selepas wang dimasukkan (ke dalam akaun firma guaman Kamal Hisham & Associates), terdapat pengeluaran cek telah dibuat ke akaun Kamal Hisham Ja’afar,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar.

Saksi pendakwaan ke-21 itu ber­kata demikian dalam perbi­caraan terhadap Kamal Hisham, 47, yang didakwa atas 17 pertuduhan melibatkan empat pertuduhan pecah amanah, sembilan pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram dan empat pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.

Nurul Izzah sebelum itu berkata, beliau membuat siasatan di bawah Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembia­yaan Keganasan 2001 (Amla) setelah menerima dua laporan polis masing-masing daripada Deputi Superintenden Azlan Ahmad dan Asisten Superintenden Raymond Kona yang menyiasat Kamal Hisham di bawah tuduhan pecah amanah.

Ujarnya, laporan polis oleh Raymond dibuat berdasarkan laporan polis oleh Setiausaha syarikat pengiklanan, Southern Ads Sdn. Bhd.(Southern Ads), Li­lian Low berhubung pembayaran RM144,000 dan RM72,000 kepada Kamal Hisham & Associates.

Menjawab soalan balas peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Kamal Hisham, Nurul Izzah berkata, siasatannya tidak memerlukan beliau menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meskipun mengakui nama baginda ada ditimbulkan semasa beliau merakam percakapan saksi lain.

Ditanya oleh peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz, saksi itu bersetuju bahawa berdasarkan bahan bukti yang ditunjukkan oleh peguam itu, terdapat cek-cek yang dikeluarkan oleh firma guaman tersebut digunakan untuk membayar tuntutan dan gaji Kamal Hisham.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin bersambung esok.