Tertuduh, Thajhuteen Jamal Mohammad, 58, didakwa melakukan kesalahan itu di Nombor 62, Taman Tangkak Jaya, di sini pada penghujung Julai tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Thajhuteen dituduh dengan curangnya menyalahgunakan atau menjadikan bagi kegunaan sendiri wang berjumlah RM52,000 daripada mangsanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang berpakaian lokap berwarna jingga mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret N. D. Arun ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kartini Kasran mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Sementara itu, Bahagian Jenayah Komplot Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam satu kenyataan berkata, polis telah menerima 13 laporan berhubung kes penipuan bagi mengubah nasib melalui kaedah numerologi yang dipercayai dilakukan lelaki berkenaan.

Jelas kenyataan itu, suspek yang turut dikenali sebagai Dr. Uthaya atau Dr. Muthaya sering kali muncul dalam saluran televisyen dan radio dipercayai bagi memperdaya mangsa dengan menjanjikan boleh mengubah nasib malang. - UTUSAN ONLINE