Menurut penyanyi lagu Bunga­ku Bakawali itu, sekarang dia ingin fokus dalam membina kehidupan bersama anaknya selain menjaga bapanya.

“Syukur tuntutan nafkah anak saya selesai dan Azmi sanggup membayar nafkah RM1,500 sebulan selain RM1,500 bagi perbelanjaan hari raya.

“Saya cuma nak hak anak saya, Putri Sara Sefhia. Pengalaman yang dihadapi cukup pahit, cukup­lah apa yang saya hadapi dan berdiam diri selama ini. Akhir­nya penderitaan saya berbayar dan kebenaran sedikit demi sedikit berpihak kepada saya.

“Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong saya dalam hal ini. Sekarang saya i­ngin fokus dan membina kehidupan bersama anak selain menjaga bapa saya. Alhamdulillah rezeki saya juga semakin baik selepas penderitaan saya diketahui umum,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Mahkamah Rendah Syariah hari ini memerintahkan Azmi membayar nafkah berjumlah RM1,500 setiap bulan untuk anak perempuan hasil perkahwinan mereka sebelum ini.

Hakim Syarie Che Abdullah Che Hassan mengeluarkan perintah itu selepas Elly Mazlein atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanapi, 36, selaku plaintif selesai menjalani prosedur Sulh (perbincangan dalam kamar) de­ngan defendan, Azmi, 41.

Mahkamah memerintahkan Az­mi membayar nafkah RM1,500 setiap bulan kepada Putri Zara Sefhia yang kini berumur tujuh bulan secara terus di mana-mana Mahkamah Rendah Syariah di Selangor termasuk Sepang, Shah Alam, Ampang dan Hulu Langat berkuat kuasa hari ini.

Defendan turut diarahkan membayar nafkah persiapan hari raya kepada anak perempuannya yang mesra dengan pang­gilan ‘Sefhia’ berjumlah RM1,500 setiap tahun dan sekiranya mana-mana syarat perjanjian itu tidak dipatuhi, Azmi boleh dikenakan tindakan mahkamah.

Dalam prosiding singkat hari ini, Elly Mazlein yang diwakili peguam syarie, Pa'izah Abdul Hamid menfailkan permohonan tersebut mengikut Seksyen 73 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, sementara Azmi yang ditemani oleh tiga orang kenalannya tidak diwakili peguam.

Azmi dan Elly Mazlein sebelum ini berkahwin pada 9 November 2014 dan bercerai pada 15 Oktober 2015 dan pasangan itu dikurniakan anak perempuan pada 10 Mac lalu.

Mengulas mengenai peranca­ngannya selepas ini, Elly Mazlein berkata, ketika ini dia sedang membuat persiapan untuk menyertai program realiti nyanyian Astro Ria, Gegar Vaganza musim ketiga.

“Bagi saya, penyertaan dalam Gegar Vaganza adalah titik permulaan untuk membina semula kerjaya. Sebenarnya ada lagi tawaran lain seperti lakonan drama yang saya terima, namun terpaksa ditolak kerana ingin memberi tum­puan kepada program nyanyian ini.

“Insya-Allah fokus saya dalam program ini tidak akan terganggu lebih-lebih lagi apabila kes tuntutan nafkah anak saya selesai. Apa yang penting saya perlu melangkah ke hadapan. Saya reda dengan apa berlaku dan mendoakan bekas suami bahagia dengan pilihannya,” katanya.