Muhammad Nur Fahmi Roshaizan, 20, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Farah Adlini Mohd. Din yang turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara setahun lagi jika gagal membayar denda itu serta hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Muhammad Nur Fahmi didakwa menunggang motosikal jenis Yamaha 125 berwarna merah nombor pendaftaran VD 7694 secara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) di sini kira-kira pukul 2 pagi, 12 Mei lalu.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu telah ditahan di persimpangan lampu isyarat Padang Balang, Sentul di sini selepas anggota polis yang melakukan operasi ternampak aksi tertuduh dan telah merakam video motosikal yang ditunggangnya dalam keadaan berbahaya.

Dia yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak lebih dua tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.

Terdahulu, Muhammad Nur Fahmi yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda rendah atas alasan dia hanya bekerja sebagai kerani manakala Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdullah Khazali memohon hukuman berat mengambil kira ini merupakan kesalahan kedua tertuduh.

“Saya mohon hukuman berat agar tertuduh insaf dan memberi pengajaran kepada tertuduh serta orang awam,” kata Abdullah. - UTUSAN ONLINE