Demikian luahan hati bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Selangor, Mohd. Adnan Md. Daud, 55, setelah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini daripada empat pertuduhan rasuah dan pe­ngubahan wang haram, tiga tahun lalu.

Hakim Azman Abu Hassan memutuskan demikian selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertu­duhan pertama, Mohd. Adnan di­dakwa memper­oleh suapan RM68,343.47 daripada Sah Hi­zam Halim di Maybank Cawa­ngan Alor Setar di sini pada 14 Disember 2016 sebagai upah kerana memilih syarikat berkenaan un­tuk menjalankan kerja-kerja membekal dan menghantar susu tepung Dutch Lady kepada taska dan tabika Permata Kemas di Selangor.

Mohd. Adnan juga didakwa melantik syarikat Alpha Elite Resources yang juga milik Sah Hizam untuk membekal dan menghantar serbuk malt coklat Milo dan pembungkusan beg plastik kepada taska dan tabika Permata Kemas di ne­geri sama.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima suapan RM86,053.45 daripada individu sama di Maybank Cawangan Alor Setar pada 7 Januari 2015 sebagai upah melantik lima syarikat milik atau dalam kawalan Sah Hizam untuk membekal biskut jenama Jacob dan Tiger Kraff, susu tepung Dutch Lady dan bijirin Nestle ke tabika Kemas di Selangor.