Malah, bagi Bilqis Hijjas, 39, perasaan itu lebih ‘manis’ apabila keputusan berkenaan di­terima pada bulan sambutan kemerdekaan memandangkan dia didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 31 Ogos.

“Selepas tiga tahun kes ini berjalan, akhirnya ia telah berakhir. Saya sangat lega dan gembira,” kata anak kepada arkitek terkenal Hijjas Kasturi itu ketika ditemui selepas selesai prosiding.

Terdahulu, pihak pendakwaan selaku perayu yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hafizah Rajuni memaklumkan mahkamah, pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan yang dikemukakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret pada 27 November 2017.

“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran rayuan, bagaimanapun terdapat perkembangan dalam kes ini iaitu perayu tidak berhasrat untuk teruskan rayuan. Mohon rayuan berkenaan ditarik balik,” katanya.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali kemudian membatalkan rayuan tersebut.

Mengikut pertuduhan, wa­nita itu yang diwakili peguam Eric Paulsen didakwa menghina dengan tujuan membangkitkan kemarahan yang mungkin menyebabkan keamanan terganggu di pusat beli-belah Pavilion, Jalan Bukit Bintang di sini, kira-kira pukul 3.15 petang, 31 Ogos 2015.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.

Pada 1 Julai 2016, Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan Bilqis tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan berkelakuan menghina dengan melepaskan belon pada majlis yang dihadiri Perdana Menteri ketika itu dan isteri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

Namun, Mahkamah Tinggi pada 3 Oktober 2016 memerintahkan pengarah tari itu membela diri atas pertuduhan itu setelah berpendapat Mahkamah Majistret telah terkhilaf dalam membuat keputusan tersebut.