Rayuan seorang lelaki, Robin Chow Yan Pun, 30, yang merupakan orang tengah kepada aktiviti pelacuran agar hukuman penjara dua tahun kekal dan hukuman sebatan ditambah bagaimanapun langsung tidak memberi kesan ke atas Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Azman Abdullah hari ini sebaliknya beliau menempelak lelaki berkenaan.

“Baru pertama kali (buat kesalahan) dah terlibat dengan aktiviti (pelacuran) sebegini. Banyak jenayah berpunca daripada kegiatan macam ini, sudah banyak laporan membabitkan kejadian seperti ini. Hukuman perlu (beri) ketakutan pada kamu, pada orang lain. Kalau hukuman tidak menimbulkan rasa takut, sia-sia mahkamah beri hukuman. Kamu duduk dalam (penjara) lama sikit, biar insaf lebih sikit,” tegas hakim itu.

Permintaan itu dibuat oleh Yan Pun sebaik sahaja hakim berkenaan meminda hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 14 Mac lalu daripada penjara dua tahun dan sebatan satu kali kepada penjara lima tahun dan sebatan tiga kali selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz.

Pada tarikh tersebut, Yan Pun yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas tuduhan menjadi orang tengah dan membantu aktiviti persundalan di sebuah rumah di Apartmen Dorchester, Jalan Sri Hartamas 1, Taman Sri Hartamas di sini dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan.

Menurut fakta kes, Yan Pun ditahan di rumah yang disewanya bersama-sama enam wanita warga asing yang dipercayai pelacur dan dua pelanggan. - UTUSAN ONLINE