LIOW SOON HEE
LIOW SOON HEE

Liow Soon Hee, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Bagi pertuduhan pertama, Soon Hee didakwa dengan se­ngaja telah menyebabkan cedera parah ke atas Lee Weng Poh, 27, di pekarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, dekat sini pada pukul 6.30 pagi, 27 Oktober lalu.

Dia yang memakai baju kemeja berwarna putih itu didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memper­untukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa menyerang penjawat awam, Melvin Cheong Mun Khai, 21, yang sedang bertugas sebagai anggota Rela di tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 353 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Soon Hee didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Leong Jun Jie, 21, dan Mun Khai di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie mencadangkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Soon Hee memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan kesemua pertuduhan melibatkan kesalahan yang boleh dijamin.

“Jaminan hanya untuk menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah dan saya memohon satu jaminan munasabah,” kata peguam itu.

Azrul membenarkan Soon Hee diikat jamin RM7,000 untuk pertuduhan pertama, RM4,000 bagi pertuduhan kedua dan masing-masing RM3,000 untuk pertuduhan ketiga dan keempat dengan seorang penjamin warganegara Malaysia yang kesemuanya berjumlah RM17,000.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan, tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain mene­tapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh dibebaskan setelah membayar jaminan itu.

Pada 31 Oktober lalu, Soon Hee telah direman selama empat hari sejak Selasa lalu.

Sebelum ini, media melaporkan tiga anggota Rela masing-masing bengkak mata kiri, selain sakit beberapa bahagian badan selepas dipukul dan ditendang.

Kejadian berpunca daripada tindakan mangsa meminta kenderaan Toyota Vellfire milik tertuduh yang diletakkan di tepi jalan besar, dialihkan kerana menghalang lalu lintas.

Sementara itu, selepas selesai Soon Hee membayar jaminan berjumlah RM17,000, dia ditahan semula oleh sepasukan polis cawangan narkotik dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wa­ngi, bagi membantu siasatan kes jenayah berkaitan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Se­langor, Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan penahanan semula Soon Hee.

“Dia (Soon Hee) merupakan individu yang dikehendaki polis berkaitan kes itu,” katanya.

Soon Hee telah dibawa menaiki kenderaan polis, meninggalkan kompleks mahkamah kira-kira pukul 5 petang untuk di bawa ke IPD Dang Wangi.