Malah, menurut bekas pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Muhammad Daniel Amru Alhaz Ali, 17, suasana ketika itu kelam kabut apabila rakan-rakannya menjerit meminta tolong sambil berlari ke tingkap bagi menyedut udara kerana asap semakin tebal di dalam asrama.

Muhammad Daniel Amru yang merupakan antara pelajar yang terselamat dalam kebakaran itu ketika memberi k­eterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, dia nekad untuk cuba mencabut jeriji besi tingkap bagi menyelamatkan diri.

“Saya cabut jeriji besi tingkap dengan sekuat hati dan apabila sudah tercabut, saya letak besi itu di atas lantai kemudian saya terfikir, kalau terjun (dari tingkat dua) boleh patah.

“Tidak lama kemudian, seorang rakan saya, Izarudin keluar ikut tepi dengan menggelongsor di batang paip polivinil klorida (PVC). Setelah dia berjaya sampai ke bawah, saya pula ikut dan beberapa kawan yang lain,” katanya.

Remaja itu berkata demikian ketika disoal oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dalam perbicaraan terhadap dua remaja lelaki yang didakwa membunuh 21 pelajar dan dua warden di pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September 2017.

Kedua-dua tertuduh yang kini berusia 17 tahun dan diwakili peguam Haijan Omar masing-ma­sing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Saksi pendakwaan ke-26 itu berkata, selepas berjaya turun, dia meminta pertolongan orang awam bagi membantu penghuni pusat tahfiz berkenaan yang masih terperangkap di dalam asrama.

Perbicaraan di hadapan Ha­kim Datuk Azman Abdullah bersambung esok untuk pemeriksaan balas.