Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian terhadap Kunaseegaran, 54, empat penganggur R. Dinishwaran, 25; A.K. Thinesh Kumar, 24; M. Vishwanath, 27; S. Nimalan, 24, dan pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandaran, 46, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Hakim berkenaan menetapkan enam hari bermula 18 Januari ta­hun depan untuk kesemua tertuduh membela diri.

Hakim Azman berkata, mah­kamah telah membuat penelitian secara maksimum di bawah peruntukan Seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah.

“Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie ke atas keenam-enam tertuduh.

“Sehu­bungan itu, tertuduh pertama, ketiga, keempat, kelima, keenam dan ketujuh dipanggil membela diri atas pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama,” katanya.

Kesemua tertuduh dibicarakan atas tu­duhan membunuh Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara itu dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul di sini ke No. 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.

Tertuduh-tertuduh terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin manakala semua tertuduh diwakili peguam Datuk N. Sivananthan, V. Rajehgopal dan M. Manoharan.

Yang turut hadir peguam pemerhati mewakili keluarga mendiang, Datuk Simon Sabapathy dan adik Kevin Morais, Datuk Richard Dilaan Morais.

Sebanyak 70 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi ketera­ngan sepanjang perbicaraan yang bermula 6 April tahun lalu.

Pada 20 Disember 2016, tertuduh kedua dalam kes bunuh tersebut, G. Gunasekaran, 49, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan alternatif menyembunyi mayat dan menghapuskan kereta Proton Perdana milik mangsa.

Pengurus logistik itu dijatuhi hukuman penjara dua tahun bermula dari tarikh tangkap pada 15 September 2015.

Kevin Morais dilaporkan hilang pada 4 September 2015. Dia dilihat meninggalkan apartmennya di Menara Duta di sini dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana.

Mayatnya ditemukan di dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015.