Majistret Nurshahirah Abd. Salim membenarkan dua suspek itu dibebaskan dengan jamin bon mahkamah sebanyak RM2,000 manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 24 tahun sebelum ini telah direman selama empat hari bermula 7 Disember lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Tempoh reman itu sepatutnya berakhir hari ini.

Keempat-empat lelaki yang merupakan penganggur itu diwakili peguam R. Sritheren.

Dalam kejadian itu, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut.

Beliau kini dilaporkan menunjukkan perkembangan positif dan berada dalam keadaan stabil selain tidak lagi menggunakan mesin sokongan jantung.

Sementara itu, Majistret Mohd. Ikhwan Mohd. Nasir mengeluarkan perintah reman selama enam hari bermula hari ini terhadap seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan kes siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku di kuil berkenaan.

Suspek itu ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah). - UTUSAN ONLINE