L. Gunasegaran, 36, yang dipakaikan baju kalis peluru semasa tiba di mahkamah dan kesemua anak buahnya meng­angguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil dan Mandarin di hadapan Hakim Suzana Hussin dalam prosi­ding yang berlangsung selama 45 minit bermula pukul 12.30 te­ngah hari itu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka.

Mengikut pertuduhan, Gunasegaran bersama 31 anak buahnya tertuduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 24 antara 1 Januari 2015 dan sehingga semalam manakala seorang wanita, K. Ponmani, 35, pula didakwa membantu kumpulan tersebut dari segi kewangan.

Selain Gunasegaran dan Ponmani, tertuduh lain adalah K. Parameswaran, 28; V. Mohana Sunder, 38; S.Vijayaraj, 27; P. Vijay Lingam, 37; K Uvarajan, 26; R. Thiyagarajan, 31; G. Siva, 35; M. Nagendran, 36; G. Murali, 35; P. Ravi, 37; C.Velasamy, 38; S. Bubalan, 44; S. Puvaneswaran, 33; M. Sugumaran, 32; R. Jigentan, 30; dan M. Baskaran, 31.

Turut didakwa adalah A. Indra Kumar, 32; B. Sivabalan, 35; T. Mogan, 33; A.Thangaraj, 28; M. Mageswaran, 31; M. Sarawanan, 26; B. Chellappan Thibenntaj, 23, dan A. Surian, 27; K. Purusothman, 38; R. Kartigeyan, 28; K. Sritheran, 37; P. Khrisna Raj, 32; R. Gajenaran, 35, Tan Jian Bin, 30, dan Mohammad Jamal Abdullah, 29.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan di bawah Akta 574 yang memperuntukkan hukuman pen­­jara maksimum 20 tahun.

Bagi pertuduhan ke atas Ponmani pula, wanita tersebut didakwa menyalurkan kewa­ngan kepada Geng 24 dengan perbuatan itu dilakukan di No. 53, Lorong Delima 4A, Bandar Parkland di sini antara 1 Januari 2015 dan 26 Julai lalu.

Jika disabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 10 tahun mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan di bawah akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dengan 29 tertuduh diwakili peguam termasuk Gerrard Lazarus, V. Rajagopal, Gabriel Susayan, Zaleha Al-Hayat, SK. Pari dan Thiru Kumar, manakala empat lagi tertuduh belum diwakili peguam.

Kesemua tertuduh terbabit tidak dibenarkan diikat jamin dan mahkamah menetapkan 14 September ini sebutan semula kes.

Seramai 160 anggota polis termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ditugaskan untuk menjaga keselamatan sepanjang prosiding tersebut berlangsung.