Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh dibacakan secara berasi­ngan di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh-tertuduh yang berusia antara 25 hingga 54 tahun.

Berdasarkan pertuduhan, ke­semua lelaki itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 36 di daerah ini antara 1 Janu­ari 2015 dan 29 Mac lalu.

Pihak pendakwaan yang dike­tuai oleh Ketua Bahagian Pendakwaan II, Jabatan Peguam Negara, Saiful Edris Zainuddin mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Tertuduh-tertuduh diwakili beberapa peguam antaranya Jayaprakash Rao, Paul Krishnaraja dan S.Thevar.

Terdahulu, kesemua tertuduh tiba di mahkamah dengan menaiki lori polis pada pukul 8.30 pagi diiringi sepasukan anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc).

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kes tersebut akan disebut semula pada 22 Mei ini untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

“Kesemua tertuduh tidak ditawarkan jaminan dan mereka dihantar ke Penjara Sungai Udang, Melaka,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini.

Akhbar baru-baru ini melaporkan pihak polis negeri ini menahan 34 ahli kongsi gelap Geng 36 yang disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah terancang menerusi Ops Khas Hoben 1/2018 pada 29 Mac hingga 9 April lalu.

Kumpulan itu dipercayai terlibat dalam beberapa siri kes keganasan di negeri ini seperti membunuh, mendatangkan kecederaan, peras ugut, khianat de­ngan api dan pengedaran dadah.