Bagaimanapun, ketiga-tiga pengarah yang mewakili syarikat masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Syarikat pertama, LTK (Melaka) Sdn. Bhd. didakwa telah mencatut penjualan sebiji telur ayam gred A sebanyak 17.46 peratus sehingga menyebabkan kenaikan peratusan margin daripada 12.29 di premis LTK Melaka Sdn. Bhd., Durian Tunggal, Alor Gajah kira-kira pukul 11.15 pagi pada 7 Mac lalu.

Syarikat kedua, Chong Yee Nam Sdn. Bhd. pula didapati mencatut penjualan sebiji telur ayam gred A sebanyak 12.86 peratus sehingga menyebabkan kenaikan peratusan daripada 14.41 peratus kepada 27.27 peratus kira-kira pukul 2.15 petang di premis terbabit di Lendu New Village, Alor Gajah, pada 13 Disember 2018.

Syarikat ketiga iaitu Chong Wei Chit Sdn. Bhd. pula didakwa mencatut penjualan sebiji telur ayam gred A sebanyak 27.59 peratus sehingga mengakibatkan kenaikan peratusan daripada 5.06 peratus kepada 32.65 peratus kira-kira pukul 2.30 petang di premis terbabit di Jalan Lendu, Alor Gajah, pada 13 Disember 2018.

Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga syarikat berkenaan didakwa di bawah Peraturan 3(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (mekanisme untuk menentukan keuntungan tinggi tidak munasabah) 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 18(a) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, syarikat terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, boleh didenda sehingga RM1 juta.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Hazril Harun dan Mohammed Heikal Ismail, manakala ketiga-tiga syarikat diwakili Peguam Nahdan Rengganathan Abdullah.

Nathan Rengganathan kemudian memohon satu tarikh baharu untuk mendapatkan dokumen berkaitan daripada pihak pendakwaan.

Norma kemudian menetapkan 16 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula bagi ketiga-tiga kes. - UTUSAN ONLINE