Peguam Syahredzan Johan yang mewakili pengundi-pe­ngundi terbabit selaku pemohon menyatakan, mereka bertindak demikian selepas responden tunggal, SPR akan mengadakan siasatan dalaman tempatan kali kedua pada 8 Ogos ini di Putrajaya.

Sehubungan itu, Hakim Mah­kamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said ketika bertemu dengan pihak-pihak terlibat di kamar hakim di sini membatalkan permohonan tersebut tanpa sebarang perintah berhubung kos, tambahnya.

Ketiga-tiga pengundi tersebut, Mohammad Saiful Mansur, Mohd. Khairuddin Asmuin dan Norma Hashim memfailkan semakan kehakiman itu pada 19 Jun lalu.

Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding tersebut.

Pemohon antaranya menuntut satu perintah membatalkan keputusan responden pada 8 Mac lalu yang menolak bantahan 99 pengundi kawasan Bandar Tun Razak atau P.124 dan tidak mahu mengadakan siasatan dalaman tempatan.

Turut dimohon ialah perintah untuk mendesak responden untuk mengadakan siasatan dalaman dan perintah-perintah lain serta relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.