Abdul Razak Suib, 58, Chang Wan Ning, 27, dan Wong Chin Sheng, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim, Hakim Kamarudin Kamsun dan Hakim Muhammad Fauzi Mohamad Nasir.

Abdul Razak daripada syarikat Eastern Global Capital Sdn. Bhd. menghadapi 40 pertuduhan meli­batkan diri dengan pe­ngubahan wang haram berjumlah RM4.5 juta manakala wanita terbabit, Wan Ming yang merupakan pengarah syarikat Vantage Instinct Sdn. Bhd. didakwa atas enam pertuduhan membabitkan wang berjumlah RM622,798.

Chin Sheng pula selaku pe­ngarah syarikat South Eminent Resources Sdn. Bhd. didakwa atas empat pertuduhan sama melibatkan jumlah RM2.67 juta.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa secara berasingan menggunakan akaun milik syarikat untuk menerima wang daripada hasil aktiviti haram di beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini antara 9 November 2011 dan 10 September 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau peralatan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu, ketiga-tiga tertuduh masing-masing turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen dengan cara memindahkan dana bagi pihak seseorang pengirim asal kepada penerima di dalam atau luar negara antara 9 November 2011 dan 10 Disember 2015.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Steve Chin Yun Cheong, Nor Ashikin Mokhtar dan P. Kesinee Aigalu.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin antara RM30,000 hingga RM50,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 14 September ini.