Ketiga-tiga perempuan itu, dua daripadanya masing-masing berusia 17 tahun dan seorang berusia 16 tahun mengaku bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.

Bagi pertuduhan pertama, salah seorang remaja berusia 17 tahun itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang penghuni sekolah yang sama berumur 15 tahun di Asrama Mutiara, Sekolah Tunas Bakti Batang Tiga kira-kira pukul 10 malam pada 19 Januari lalu.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh yang sama dan dua lagi rakannya berusia 16 dan 17 tahun didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang sama dengan cara menendang serta menampar muka remaja itu pada waktu, tempat dan tarikh sama.

Bagi tindakan itu, ketiga-tiga mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM4, 000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan tarikh 25 April depan untuk keputusan hukuman bagi menunggu laporan akhlak terhadap ketiga-tiga tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari membantah sebarang jaminan kerana bimbang akan keselamatan mangsa kerana sekolah itu tidak mempunyai bilik pengasingan.

Mahkamah kemudian tidak memutuskan tiada sebarang jaminan dibenarkan dan menetapkan 25 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta keputusan hukuman. Ketiga-tiga pelajar itu kemudian dihantar ke Penjara Sungai Udang di sini. - UTUSAN ONLINE