Ketua gudang, Mohd. Khairie Mohd. Noor dan kerani gudang, Mohamad Taufik Akman masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Norhayati Mohamed Yunos.

Sementara itu, seorang pemandu lori, C. Ramanathan yang dipercayai menjadi orang tengah untuk mendapatkan pembeli beras seberat 515,050 kilogram itu, didakwa bersubahat dengan ke­dua-dua lelaki terbabit untuk melakukan kesalahan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Khairie, 32, dan Mohamad Taufik, 26, didakwa menyalah guna beras jenis Thai White Rice (TWR) untuk kepentingan mereka sendiri antara 2 Ogos 2016 dan 9 Mac 2017 di gudang syarikat itu di No.331, Mukim 1 Solok Perusa­haan 4, Kawasan Perindustrian Perai, Seberang Perai Tengah di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan serta boleh didenda.

Ramanathan, 56, pula didakwa bersubahat dengan Mohd. Khairie dan Mohamad Taufik pada masa tarikh dan tempat sama serta dituduh mengikut Seksyen 408 dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Norhayati kemudian menetapkan 21 Ogos ini untuk sebutan kes dan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 berserta seorang penjamin.