Walau bagaimanapun, Lans Koperal Azizan Mohamad, 30, Lans Koperal Muhammad Aiman Najmi Sahran, 26, dan Lans Koperal Abdul Manan Abdul Satar, 33, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.

Bagi pertuduhan pertama, ketiga-tiga tertuduh yang bertugas di Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam didakwa meminta suapan berjumlah RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 33 tahun sebagai dorongan untuk melepaskannya dan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah bank di Jalan Masai Jaya 1, Plentong di sini pukul 1 pagi pada 9 Oktober 2016.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menerima suapan wang tunai RM2,250 daripada orang sama bagi tujuan serupa di Jalan Teratai 18, Taman Johor Jaya, di sini pukul 4.50 pagi, tarikh yang sama.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsyarina Raizan menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan, namun peguam yang mewakili tertuduh membantah.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap minggu pertama sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Januari 2018.

Salah seorang daripada tertuduh turut menunjukkan isyarat lucah serta kata-kata kesat ke atas jurugambar sebaik dibawa keluar dari mahkamah. - UTUSAN ONLINE