Majistret Mahyudin Mohmad Som memutuskan demikian terhadap Inspektor S. Kushalani, 32, Sarjan A. Rajaratnam, 42, dan Konstabel M. Uthayakumar, 32, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin memaklumkan pihaknya mendapat arahan daripada pendakwaan Putrajaya untuk melepas tanpa membebaskan ketiga-tiga tertuduh daripada pertuduhan itu.

“Mahkamah dengan ini membatalkan kes terhadap ketiga-tiga tertuduh. Ketiga-tiga tertuduh dilepas tanpa dibebaskan dan wang jaminan dikembalikan,” kata Mahyudin pada sebutan semula kes hari ini.

Pada 1 Oktober lalu, mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan membantu anggota kumpulan Geng 36 yang merupakan satu pertubuhan menyalahi undang-undang di Beats Club, Desa Sri Hartamas, di sini antara 1 Januari 2015 dan 2 Mei tahun lalu.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Dalam prosiding itu, peguam, R. T. Gaithri mewakili Kushalani, Uthayakumar diwakili oleh Nicholas Netto manakala peguam, Siti Hanis Che Wahab mewakili Rajaratnam.

Ahli keluarga bagi ketiga-tiga tertuduh di galeri awam dilihat gembira dan berpelukan selepas mahkamah membuat keputusan tersebut.

Kumpulan Geng 36 ini dipercayai terlibat dalam pelbagai kes jenayah terancang seperti membunuh, mendatangkan kecederaan, peras ugut, khianat dengan api dan pengedaran dadah. - UTUSAN ONLINE