Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Nek Zaidi Zakaria berkata, kesemua anggota termasuk 22 pegawai itu dikerahkan di bawah Op Prank termasuk dari Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bermula awal pagi.

“Polis akan mengadakan taklimat terlebih dahulu sebelum kes berjalan. Kes akan dijangka disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Azmi Ariffin,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sebelum ini, seorang wanita warganegara Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan seorang wanita warganegara Vietnam, Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama empat orang lagi yang masih bebas, membunuh Kim Chol, 45 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Majistret Sepang memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan permohonan oleh Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad supaya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi berdasarkan Seksyen 177A Kanun Prosedur Jenayah.

Pengakuan mereka akan direkodkan semasa sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam esok kerana hukuman mati adalah di bawah bidang kuasa mahkamah itu. - UTUSAN ONLINE