Keputusan itu dicapai oleh panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif yang bersidang bersama Tan Sri Zainun Ali, Datuk Balia Yusof Wahi, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Mereka memohon mencelah dalam rayuan tersebut yang akan didengar pada 7 Februari depan atas alasan isu undang-undang yang dibangkitkan menyentuh kepentingan mereka.

Selain JPN, dua pihak lagi ialah Ketua Pengarahnya dan Kerajaan Malaysia manakala Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) selaku pencelah dibenarkan berhujah dalam rayuan itu berpandukan kepada persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh JPN.

Responden-responden dalam rayuan itu terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua-dua ibu bapanya (identiti mereka dirahsiakan oleh mahkamah).

Peguam Azhar Azizan Harun yang mewakili kesemua pemohon ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memaklumkan, mereka bagaimanapun dibenar bertindak sebagai sahabat mahkamah (Amicus Curiae) dalam rayuan tersebut.

Seorang lagi peguam, Aniza Aziz berkata, dua daripada pasangan tersebut berhasrat untuk terlibat dalam rayuan itu atas alasan mereka telah memperolehi perintah Mahkamah Tinggi Syariah Perlis yang membenarkan anak masing-masing menggunakan nama bapa dalam sijil kelahiran.

Menurut peguam bela, perintah tersebut yang diperolehi pada Mac dan Oktober tahun lalu bagaimanapun ditolak ketika dikemukakan kepada JPN untuk meminda nama Abdullah kepada nama bapa, atas alasan JPN terikat dengan rayuan yang masih belum selesai.

Pada 8 September tahun lalu, ketiga-tiga pihak mendapat kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menyatakan anak luar nikah pasangan beragama Islam tidak perlu lagi mengunakan bin atau binti ‘Abdullah’, sebaliknya mereka boleh menggunakan nama bapa masing-masing sebagai nama keluarga.

Keputusan penting itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh ketiga-tiganya. - UTUSAN ONLINE