Kesemua tertuduh yang berusia antara 18 hingga 56 tahun yang dikawal ketat oleh pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), sekadar mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan seorang demi seorang oleh jurubahasa kepada mereka.

Tiada pengakuan direkodkan oleh mahkamah daripada tertuduh-tertuduh.

Daripada jumlah tersebut, seramai 16 lelaki didakwa menjadi ahli kumpulan ‘Geng Pak Su’ di daerah Kubang Pasu antara 1 Januari 2015 hingga 11 September lalu.

Mereka terdiri daripada Fairus Hafiz Mohd. Yusoff, 24; M. Murugan, 36; Rosli Ariffin, 40; Sariman Idris, 42; Mohd. Norhizam Zamzuri, 29; Faizol Sobri Romli, 29; Amirul Ashraf Hussain, 20; Muhamad Ashraf Aziz, 23; Faizal Azlyshah Romli, 33; Aziz Othman, 56; Muhamad Asrun Amir Hussain, 23; Muhammad Luqman Hakim Zainal, 18; Nur Arif Norzaidi, 19; Muhamad Amir Daud, 22; Norhasrul Izwan Noraini, 33, serta Joni Yakub, 37.

Empat yang lain iaitu Zamzuri Aziz, 22; Shamsol Long, 45; Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 21, dan Mohamad Rozaidi Sabu, 26, dituduh menjadi anggota kumpulan tersebut di tempat sama bagi tempoh 1 Janua­ri 2015 hingga 13 September 2017.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Ra­ya, Saiful Edris Zainuddin dan Mohd. Izhanudin Alias mengikut Seksyen 130 (V) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima sehingga 20 tahun.

Hanya seorang tertuduh iaitu Aziz diwakili peguam, G. Ravi Shankar.

Hakim Amernudin Ahmad tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin berikutan kes berke­naan termasuk dalam jadual pertama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) 2012 dan menetapkan sebutan kes pada 20 November ini.

Dalam perkembangan yang sama, sebanyak 22 lagi individu yang mempunyai kaitan dengan ‘Geng Pak Su’ yang aktif menjalankan kegiatan penyeludupan ditahan, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, kesemua mereka ditahan di daerah Kubang Pasu, dekat sini dalam fasa ketiga operasi yang dijalankan dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Kesemua mereka yang berusia antara 20-an hingga 40-an ditahan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

“Kami akan siasat sejauh mana penglibatan mereka dengan kumpulan tersebut. Seperti diketahui, pada 1 November nanti pintu sempadan akan dibuka selama 20 jam dan menjelang tarikh itu, mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan takkan kami lepaskan,” katanya ditemui pemberita di mahkamah di sini.