Pakar Bedah Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ahmad Hafizam Hasmi berkata, pihaknya telah melakukan bedah siasat dengan membuat pemeriksaan dalaman terhadap Muhammad Adib pada 18 Disember tahun lalu pukul 1 pagi.

Dr. Ahmad Hafizam yang merupakan saksi ke-24 pada prosiding inkues memasuki hari ke-16 menjelaskan, pemeriksaan dalaman itu mendapati hujung tulang rusuk ke empat dan lima yang patah tertusuk ke dalam paru-paru kanan.

“Otot dada kanan Muhammad Adib lebam manakala tulang sternum tidak patah dan tulang rusuk kanan yang kedua hingga ke lima patah pada bahagian sisi dan hadapan.

“Selain itu, tulang rusuk ke tiga patah pada tiga tempat dan tulang rusuk ke empat patah di bahagian dua tempat,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Tambah Dr. Ahmad Hafizam, pihaknya juga menjalankan pemeriksaan di bahagian kepala, mulut dan leher Muhammad Adib.

“Kulit kepala Muhammad Adib tidak menunjukkan sebarang cedera luar atau dalam, manakala tulang tengkorak dan dasarnya juga tiada pecah atau retak.

“Otak Muhammad Adib juga bengkak dan berwarna kehijauan disebabkan sejenis ubat yang diberikan ketika mangsa menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) iaitu Methylene Blue,” ujarnya.

Prosiding inkues bersambung petang ini pada pukul 2.30 petang. - UTUSAN ONLINE