Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang kerani, Mohamad Hafizi Samsudin, 30, dan Mohd. Nas Khalid Mohd. Nasir, 33, yang bekerja sebagai pemandu bas selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan hari ini.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah melakukan rompak berkumpulan kereta Toyota jenis Vellfire miliki Asmahani Mohd. Napiah, 36, di tempat letak kereta, B1, Hotel Everly, Presint 1, Putrajaya, kira-kira pukul 11.15 pagi, 1 Disember 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Mahkamah memerintahkan Mohamad Hafizi menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap 13 Mac lalu manakala Mohd. Nas Khalid pula diarahkan menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap pada 22 Februari lepas dan berjalan serentak dengan hukuman penjara yang sedang dijalaninya di Penjara Kajang bagi kesalahan dadah dan memiliki harta curi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad memohon hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam dan kecederaan yang dialami mangsa selain kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Mohamad Hafizi dan Mohd. Nas Khalid yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman ringan atas alasan masing-masing telah insaf dan mereka perlu menanggung keluarga dengan pendapatan dalam lingkungan RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian semasa mangsa ingin mengambil keretanya di tempat letak kereta, dia telah menyuruh dua anak lelakinya masing-masing berusia tujuh tahun dan tiga tahun masuk ke dalam kereta.

Ketika mangsa hendak masuk ke dalam keretanya, wanita itu melihat kedua-dua tertuduh berlari ke arahnya sambil masing-masing memegang sebilah parang panjang.

Mohamad Hafizi terus merampas kunci kereta dan kad ‘parking’ yang ada di tangan mangsa sambil mengacukan parang ke arah mangsa manakala Mohd. Nas Khalid kemudiannya menolak mangsa dan telah berlaku pergelutan yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di jari kelingking sebelah kiri dan kesan calar di bahagian lengan kanan.

Mangsa telah merayu supaya dua anaknya dikeluarkan dari kereta, setelah Mohd. Nas Khalid mengeluarkan anak-anak mangsa, mereka terus membawa kereta itu keluar dari kawasan tempat letak kenderaan itu. - UTUSAN ONLINE