Hukuman itu dijatuhkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Johor Bahru, R.Salini selepas Nolmat Halil Abd. Jalil, 34, dan Muhammad Firdaus Irwan, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dikenakan ke atas mereka.

Mengikut pertuduhan, Nolmat Halil yang berasal dari Tanjung Sedili, Kota Tinggi dan Muhammad Firdaus dari Larkin Jaya di sini didakwa bersama-sama dengan sengaja lari dari lokap Balai Polis Gelang Patah, di Iskandar Puteri, pukul 4.16 petang, 11 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nolmat Halil dan Muhammad Firdaus memohon mahkamah meringankan hukuman dengan alasan tidak mampu membayar denda dan Nolmat Halil turut memaklumkan mahkamah bahawa ibunya uzur dengan berkerusi roda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chan Lee Lee dan mahkamah kemudian memerintahkan hukuman terhadap kedua-duanya bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu 11 Jun lalu. - UTUSAN ONLINE