Pembantu stor, K. Pirabu, 33, dan pemandu lori, S. Thinagaran, 35, hanya mengangguk tanda faham selepas kesemua pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dua rakan itu didakwa bersama-sama telah membunuh Sulaiman [email protected], 44,  dan adiknya, Abulatiff, 36, di pekarangan Blok B, Flat Damansara Bistari, di sini, antara pukul 2 dan 3 pagi, 11 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama lima orang lain, sebagai ahli perhimpunan menyalahi undang-undang dan menggunakan senjata berbahaya iaitu topi keledar dengan tujuan bersama untuk mencederakan Abdul Rashid Arifin di tempat dan masa sama.


Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 146 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 148 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan kedua-dua bersaudara itu dibunuh selepas berlaku pertengkaran dengan sekumpulan kenalan mereka yang turut menyertai majlis hari jadi yang berlangsung di sebuah khemah di pangsapuri itu. -UTUSAN ONLINE